Minggu, 18 Mei 2014

Muslimah Yang Bebas


Kenyataan yang jelas dalam masyarakat kita hari ini, ramai wanita menghamburkan wang ringgit untuk mendapatkan pakaian yang cantik menawan, perhiasan yang bergemerlapan, bahan-bahan kecantikan, peralatan solek yang berlebihan dan seumpamanya. Golongan ini mudah terikut dengan arus fesyen kotemporari atau perkataan lainnya trend, tanpa mengambil kira soal hukum dan kewajarannya menurut pandangan agama.

Sedangkan jika diperhalusi secara matang berpandukan kebenaran, semua itu tidak banyak menjana atau menambah ekonomi negara sejagat dan tidak pula meningkatkan taraf hidup masyarakat. Bahkan sebaliknya, ia hanya menambahkan beban dan tanggungan yang amat berat kepada umat kerana dilakukan tanpa menurut aturan syariat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

“Akan muncul dalam kalangan umatku pada akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka (isteri atau anak perempuan mereka), berpakaian tetapi seperti telanjang (nipis dan ketat). Di atas kepala mereka seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh sebab itu, laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat.” (HR Ahmad)

Juga sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:-

“Ada dua golongan daripada ahli neraka yang belum aku pernah lihat kedua-duanya itu. Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka guna untuk memukul orang (iaitu penguasa yang kejam). Dan perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang senderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar bonggol unta. Mereka ini tidak akan masuk syurga, dan tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (HR Muslim)

Umpama Bonggol Unta

Daripada hadith ini, Rasulullah SAW memberi amaran mengenai dua golongan yang menghuni neraka, dan salah satu daripadanya ialah wanita yang mendedahkan aurat. Mereka berpakaian tetapi seolah-olah telanjang dek pakaian yang disarung amat nipis, ketat dan sendat. Pakaian yang menampakkan lekuk dan bentuk tubuh.

Malah rambut wanita yang disifatkan oleh junjungan mulia itu sebagai sebesar bonggol unta sedang berlaku secara meluas dan digayakan tanpa rasa bersalah. Segalanya bermula daripada daya tarikan inginkan kecantikan yang ada pada wanita yang mengenakantrend tersebut dalam berpakaian ketika mereka keluar bergelandangan dalam masyarakat. Walaupun sudah mengenakan tutup kepala, tetapi hakikatnya mereka masih ingin mempamerkan keindahan dengan meninggikan sanggul di kepala. Dikatakan, gaya sedemikian dapat menjadikan si pemakai kelihatan lebih anggun dan menawan.

Lebih malang lagi, ada yang tidak memiliki rambut panjang, sanggup memakai sanggul tiruan untuk turut serta memeriahkan gaya terkini lagi ranggi itu. Tanpa disedari, dua kesalahan telah dilakukan. Dosa memakai rambut palsu walaupun tersorok di sebalik tudung yang dikenakan dan kedua, dosa tabarruj (berhias dan mempamerkan kecantikan serta keindahan pada wajah dan tubuh badan kepada yang bukan mahram) yang amat dilarang.

Tidaklah timbul rasa gerun dan gentar di hati para Muslimah bilamana Rasulullah SAW menyatakan goongan yang melakukan dosa seumpama ini sebagai penghuni neraka? Naud’zubillah.

Seni Kreatif

Situasi ini disemarakkan lagi dengan kehadiran pereka-pereka busana Muslimah yang menyatakan mereka mahu membantu Muslimah (yang perlu menyahut seruan menutup aurat tetapi pada masa yang sama tetap mahu tampil bergaya, anggun lagi mencuri tumpuan) untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Sayangnya, mereka tidak menyedari atau mungkin kurang mengerti bahawa rekaan mereka itu masih tidak selari dengan kehendak Ilahi sebaiknya ia hanya meletakkan martabat ajaran Islam di bawah nama kreativiti seni.

Apabila ada suara-suara berkumandang menegur hasil seni mereka yang tidak sefahaman dengan ajaran murni Islam, mereka mulai rasa tergugat dan membantah menggunakan hujah akal yang banyak diwarnai nafsu kepada dunia.

Ingatlah, jika kreativiti senu dan kehendak manusia dijadikan sebagai satu piawaian taua kerangkan nilai, maka akan terjadilah kekacauan dan kepincangan.

Bisikan Iblis

Allah SWT menggambarkan orang yang lebih mengutamakan kebenaran logik akal, juga kehendak dan kesukaan manusia ramai daripada kebenaran wahyu adalah serupa dengan sifat orang yang lalai dan termakan hasutan syaitan. Firman-Nya yang bermaksud:-

“Dan janganlah memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya agar mereka membantah kamu dan jika kamu menuruti mereka, sesungguhnya kamu tentulah menjadi orang yang Musyrik. “ (surah al-An’am 6:121)

Mereka menyanggah dan menolak kebenaran demi mempertahankan pandangan dan pendirian yang menyalahi ajaran Allah SWT. Jadi, tidak hairan jika hakikat yang berlaku ialah bukan ia tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, tetapi kerena memang ia tidak mahu mengikut dan tunfuk kepada kebenaran tersebut.

Alat Atau Tujuan?

Saya bukan mahu menafikan fitrah seorang wanita, jauh sekali daripada meletakkan diri saya sebaris dengan orang yang anti kepada fesyen-feseyn terkini. Tidak sama sekali. Sejujurnya saya juga mahu para wanita tampil mempesona.

Cuma, saya berhasrat untuk mengajak wanita bergelar Muslimah memahami dan meneliti setiap tindak-tanduk mereka menggunakan kecerdasan akal yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk lebih bijak menggunakan kecantikan bagi mencapai matlamat yang benar. Kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka, tidak lebih daripada hanya sebuah “alat”, bukan “tujuan”.

Andai betul dan benar bawaan kita dalam menggunakan “alat” itu, maka besar pula potensi kita mencapai “tujuan”nya. Sebaliknya, jika salah bawaan kita walau sedikit sahaja, maka “alat” itu tidak lagi memberikan manfaat dan kebaiakn, bahkan ia boleh berubah menjadi gunting dalam lipatan. Atau lebih buruk daripada itu, ia menjadi senjata yang makan tuan!

Oleh sebab itu, Islam menggesa kaum wanita agar memelihara diri daripada kecantikan yang memperdaya dan pada masa yang sama mengarahkan kaum lelaki supaya tidak melihat kaum wanita dengan pandangan yang bersumberkan syaitan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Katakanlah kepada kaum lelaki daripada golongan yang beriman, hendaklah mereka mengawal penglihatan mereka dan menjaga kehormatan kemaluan mereka.” (surah al-Nur 24:30)

Sehubungan dengan itu, perlu saya tegaskan bahwa tujuan seorang wanita berhias cantik adalah untuk menambah kasih dan cinta lelaki bernama suami serta menghangatkan ikatan yang telah dihalalkan atas nama Allah SWT. Dan tujuan akhir pastilah demi mencapai kesejahteraan dan keredhaan-Nya.


Muslimah Solehah Yang Bebas

Saya menemui satu pengakuan tulus dan jujur lewat tulisan seorang wanita Barat bernama R. Stevenson dalam The Toronto Starbertarikh 23 Januari 2002, berhubung etika pemakaian wanita Islam. Sebagai seorang Muslim, saya amat terharu membaca kata-katanya itu.

Menurut beliau, berdasarkan pengamatannya, wanita Muslimah kelihatan bebas daripada terperangkap dengan fesyen. Mereka bebas daripada menjadi bahan perbandingan, tidak perlu risau soal diet dan tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan pengiktirafan lelaki ajnabi. Wanita yang menjadi mangsa fesyen sebenarnya tidak lebih daripada menjadi bahan pameran dan kepuasan nafsu semata-mata. Wanita Muslimah yang bebas tidak perlu bersaing untuk menunjukkan kemegahan. Namun mereka masih mempunyai daya tarikan tersendiri. Daya tarikan tersebut tersembunyi di sebalik rasa taqwa, akhlak dan kesederhanaan mereka.

Muslimah Pencorak Ummah

Wahai Muslimahku....

Insafilah, bahawa ketika musuh-musuh Islam begitu memerhatikan kedudukan wanita Islam dan kepada siapa dia dapat memberikan pengaruhnya. Seorang Muslimah itu, hidupnya adalah sebagai seorang ibu, sekaligus sebagai seorang guru dan pembangun generasi yang makmur dan padu.

Jadi, mereka perlu berusaha sedaya-upaya untuk menghancurkan moral dan akhlak Muslimah, merentap “pakaian” din (agama) yang benar, mengoyak rasa malu daripada menutupi tubuh badan, fikiran dan tindakan mereka sehingga kesannya nanti, moral dan akhlak anak-anak Muslim, pembangun masa depan sebagai tiang-tiang umat akan turur rosak dan hancur. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan tanpa rawatan, kelak tiang ini akan hancur lunyai bak dimakan anai-anai. Hilanglah kekuatan ummah. Generasi pewaris semakin lemah. Maka apa yang akan terjadi kepada masa depan umat Islam? Mungkinkah hanya tinggal sejarah?

Oleh sebab itu, marilah kita bersama-sama dalam menghadapi situasi yang gawat dan kritis ini, untuk kembali kepada kehendak Allah SWT yang menginginkan agar manusia berusaha mengendalikan hawa nafsu berwahanakan ilmu. Ilmu yang diwariskan oleh junjunganNabi Muhammad SAW kepada para sahabat, tabi’in, tabi tabi’in dan para ulama’ yang sentiasa prihatin dengan ajaran dan sunnah Rasul-Nya.

Muslimah tercinta....

Ketahuilah, kita kini umpama berdiri di satu pelabuhan kehidupan, sedang menunggu kapal yang akan membawa kita ke destinasi terakhir di sebuah dataran besar, iaitu akhirat yang lebih kekal. Tingkatkan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Carilah apa yang menyenangkan Allah SWT bagi memungkinkan kita meraih komoditi yang tidak terbanding nilainya.

Kita semua punya harapan untuk al-Jannah. Syurga yang tersedia untuk golongan yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Persoalannya......layakkah kita?


Wallahua'lam.

Sumber : http://raudhahjiwa.blogspot.com/

0 comments:

Posting Komentar